Showing posts with label AL-FATIHAH.. Show all posts
Showing posts with label AL-FATIHAH.. Show all posts

Thursday, January 19, 2017

Genap 2 tahun.

Bismillahirrahmanirrahim.

Beliau pergi pada waktu tengah malam, melewati angka 12 pada 18 Januari 2014, menjadikan tarikh yang tercatit pada sijil kematiannya - 19 Januari 2014.

Mengimbas kembali, rasanya waktu itu saya baru pulang bercuti. Seperti sekarang ini, cuti semester selama dua minggu. Tidaklah terlalu baru, tapi tidaklah sudah terlalu lama saya berada di rumah.

Beliau demam. Panas. Seleranya yang sedia tumpul, semakin berkurang. Sesekali kami (selain Mek yang setia berada di sisinya), bergilir-gilir, menjenguk dia di katilnya. Matanya terpejam, kekadang separa terbuka. Melingas seketika, sebelum kembali dia memejam mata. Saya singgah di katilnya sesekali, menjamah dahi dan lehernya. Panas. Dan sesekali juga, kedengaran dia mengerang. Senyum nipis saya di dalam hati, mengenangkan tabiat yang satu itu masih lekat pada dia. Mengerang ketika demam.

Hari itu - 18 Januari 2014. Demamnya masih belum kebah. Mek cuma menyuapkan air masak kepadanya, melalui straw. Barangkali hanya sesudu dua supplement yang berjaya masuk ke dalam mulutnya. Juga sesuap dua nasi pada waktu tengah hari. Dan sedikit kuih pada petangnya. Selebihnya, hanya air yang menjadi santapannya.

Saya gusar, namun tidaklah kuat rasa itu. Barangkali kerana sudah beberapa hari dia demam begitu, maka tanggapan saya ; demamnya masih belum kebah. Sudah beberapa kali dia demam begitu sebelum ini, dan kebah. Jadi saya fikir, demamnya belum habis. Justeru, tiada apa-apa istimewa yang kami lakukan, melainkan rutin yang sesekali melalukan tuala lembap di wajahnya, bagi mengurangkan panasnya.

Siapalah yang menyangka itu demam terakhirnya dia. Siapalah yang menyangka demam itu tidak akan kebah. Siapalah yang menyangka beliau akan pergi bersama demamnya. Siapalah yang menyangka - erangan demamnya itu yang terakhir kami dengar, dan awal tirai 19 Januari 2014 dibuka, beliau pergi.

Kalaulah....

Kalaulah kita semua tahu itu hari terakhirnya dia, tidak sesaat pun kita tinggalkan dia. Kalaulah kita tahu esoknya dia sudah tiada, segala urusan hari ini langsung tidak kita peduli. Kalaulah kita tahu itu saat-saat terakhir dia dunia, tercatuklah kita semua di sisinya - menghabiskan masa menatap wajahnya, mengusap jemarinya dan mendengar erangannya.

Dan itu semua - KALAULAH.

It is not a good thing, tapi memang ada sedikit kesal di pihak saya sendiri, for not being with him during his last moments. Kerana hanya sesekali sahaja menjengah dia, dan kemudiannya pergi menyambung urusan dunia. Kerana tiada di samping dia di hujung hayatnya, sedangkan kami di bawah bumbung yang sama. Kerana tidak memperdulikan erangan dia, yang mungkin mahu memberitahu sesuatu.

Tapi, yalah; sesal sekarang mana ada guna, kan? And the only thing I can do right now is, banyakkan berdoa agar dia bahagia di sana, di sisi Pencipta. Agar dua tahun dia di alam kubur sana tidaklah dia rasakan terlalu lama, untuk sampai ke alam kebangkitan semula. Agar kuburnya bercahaya, dan diluaskan serta dilapangkan selapang-lapangnya. Agar segala dosa-dosanya di dunia diampunkan, dan segala amal kebaikannya diambil kira pahalanya. Agar saham-saham dunia yang dia tinggalkan; anak-anak soleh, harta sedekah serta ilmu bermanfaat, akan mengharumkan kuburnya.

Agar.

***

Aytuk,
who knows 19 January would be such an important date to us?

Aytuk, tadi adik ke kubur Aytuk, bersama Ayah. Ayah is going somewhere else tomorrow, so he would like to pay u a visit before he leaves. And I followed him.

Ayah duduk hampir di pusara Aytuk, dan kami memulakan bacaan. I was wandering around, as usual, melihat 'teman-teman baru' Aytuk. Ada beberapa kesan tanah baru di sekitar pusara Aytuk. Kemudiannya adik duduk berhampiran Ayah, yang memulakan bacaan tahlil. Dan adik ikut, diam-diam.

Ayah akhirinya dengan doa, dan di pertengahannya, adik lihat Ayah mengesat matanya di sebalik kaca mata yang dia pakai.

Aytuk, Ayah adik itu, yang jarang sekali adik lihat air matanya, Ayah adik itu, anak lelaki sulung Aytuk, nampaknya seperti adik juga -merindui Aytuk.



***

Damailah di sana, Aytuk sayang. It is just a matter of time, sebelum kita bertemu kembali. Semoga pertemuan kita, di alam lain itu, menjadi pertemuan yang lebih indah. Semoga kita ini layak untuk kembali berhimpun dan bertemu di syurgaNya, yang kekal abadi, insha ALLAH.



Aytuk sayang, Hj Hamzah Hj Idris, sentiasa dalam kenangan.
AL-FATIHAH.


****

Wallahu'alam, wassalam.



psst. 
Kisah 2 tahun lalu ada kat sini, kot la nak baca -> http://maryam-kamal.blogspot.my/2015/02/pok-su-mezoh-dalam-kenangan.html

Tuesday, October 25, 2016

Cerita 25 Oktober 2016.

Bismillahirrahmanirrahim.

***

1- Emak.

Rumah yang kami duduki sekarang ini merupakan rumah peninggalan arwah datuk belah emak, yang kami gelarkan sebagai Ayahtuk Haji Harun, yang merupakan bekas Imam Masjid Besar Pasir Mas. Orang tua-tua di pekan ini mengenali emak sebagai Cikgu Yah anak Tok Imam Haji Harun. Begitulah kisahnya.

Rumah ini sudah lama. Daripada zaman rumah kayu yang berhalamankan kebun pisang di belakang, perlahan-lahan ayah dan emak ubahsuai menjadi lebih baik. Menjadi rumah batu yang belakangnya semua disimenkan, kerana kawasan belakang kawasan tanah rendah, jadi rumah kami sering naik air ketika banjir. Alhamdulillah kini, kami selesa mendiami rumah ini seadanya. Tidaklah besar mana, cukuplah kami tinggal dengan selesa.

Di sebelah rumah lama ini, ada sebuah rumah daripada beberapa buah rumah lain yang merupakan rumah kawan baik emak sejak kecil. Childhood friend, yang kekal hingga ke hari ini. Usia emak menjangkau 60 tahun pada tahun ini, manakala kawan emak yang saya panggil Che Ros itu muda setahun; 59 tahun.

Mereka sangat akrab, hinggakan selalu sangat kami bertukar juadah dan lauk, tanpa mengira musim, puasa atau tidak, raya atau tidak, ada sahaja lauk lebih, dihulurkan kepada Che Ros. Che Ros juga begitu. Malah ada masanya jika kekurangan bahan masakan, pantas sahaja emak melaung memanggil nama Che Ros di seberang pagar sana nun, membuat pinjaman kecemasan.

Seperti mana Che Ros mengenali kami semua adik-beradik, kami juga tahu serba-sedikit mengenai keluarga Che Ros yang juga mendiami rumah tinggalan keluarga. Che Ros, paling terbaru, tinggal di rumah itu bersama suaminya, yang saya panggil Pak Cik Arif dan anak lelaki mereka, Din.

Pak Cik Arif bekerja sebagai pemandu kereta sewa. Saban pagi, saya dikejutkan dengan deruman enjin kereta sewanya. Subuh masih banyak baki waktunya, hari masih dinihari yang gelap, namun beliau sudah bersiap-sedia mahu keluar mencari rezeki buat keluarganya. Pernah juga ketika sekolah menengah dahulu, emak cadangkan saya ke sekolah di bandar Kota Bharu itu menaiki kereta sewa Pak Cik Arif, namun saya tolak dengan baik untuk menaiki bas bersama rakan-rakan.


***

2- Ayah


Beberapa bulan lalu, melalui corong speaker masjid yang kedengaran jelas dari rumah, saya mendengar setiap butir patah mesyuarat yang dikendalikan selepas solat Maghrib, oleh Tuan Imam mengenai pelancaran Badan Khayrat Kematian. Beberapa nama disebut dan diundi, dan saya tersengih mendengar nama ayah turut dicalonkan, bahkan mendapat undian tertinggi hingga beliau akhirnya dilantik menjadi Pengerusi badan tersebut.

Beberapa hari kemudian, suara Ayah pula kedengaran di corong microphone, memberikan taklimat tentang badan ini, setelah ahli jawatankuasa dilantik dan organisasi badan ini dibentuk. Sekali lagi saya tersenyum, bangga dengan Ayah yang jelas menjadi kepercayaan jemaah masjid untuk menguruskan amanah ini.

Oleh kerana banyak masa terluang ketika cuti semester itu, saya membantu ayah mengemaskini senarai ahli yang mendaftar. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, tidak menang tangan ayah dibuatnya. Lantas saya menghulurkan tangan untuk menaip senarai nama dan menyelaraskan maklumat badan ini.

Apa yang saya tahu, yuran adalah sebanyak RM60 seorang, untuk setahun. Badan ini akan bertindak sebagai tunjang utama menguruskan jenazah andai ahli tersebut meninggal dunia. Ia meliputi perkara-perkara wajib dan asas ketika berlaku kematian, contohnya memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, mensolatkan jenazah dan proses menggali serta menyemadikan jenazah. Justeru, ahli qaryah sangat disarankan dan digalakkan untuk menyertai badan ini, namun tanpa sebarang paksaan.

Saya senang melihat Ayah begitu gembira melaksanakan amanahnya dengan begitu berdedikasi dan berwibawa.


***

3- Che Ros dan Pak Cik Arif

Selasa, 25 Oktober 2016, jam 1.40 am.

Menurut emak, telefonnya berdering. Emak dan ayah kedua-duanya terjaga, demi panggilan pada waktu itu yang jarang sekali berlaku. Rupanya Che Ros yang menelefon, memaklumkan kembalinya Pak Cik Arif ke pangkuan Ilahi jam 11 malam, 24 Oktober 2016.

Malam itu jujurnya saya tidur lewat. Melewati jam 12 malam dan memasuki hari baru (25 Oktober), saya baru selesai menghabiskan episod terbaru RunningMan, kemudian dilanjutkan dengan membuat tugasan untuk subjek Criminal Procedure hingga jam 3 pagi. Dari bilik yang saya duduki, dapat saya dengar bunyi  pergerakan keluar masuk kereta yang datang dari rumah Che Ros, namun saya tidak ambil pusing mengenangkan pasti ada sebabnya yang tersendiri.

Tanpa saya sangka, itulah sebabnya. Pemergian Pak Cik Arif.

Subuh esoknya, barulah saya dimaklumkan bahawa Pak Cik Arif sudah tiada jam 11 malam semalam. Rupa-rupanya bunyi kereta yang keluar jam 12 malam itu ialah Che Ros dan Din yang ke hospital, dan mereka pulang membawa jenazah pada jam 2 lebih.

Saya dengar semuanya, namun saya tidak ambil tahu. I suddenly got goosebumps just by thinking of that :(

***

Libang-libu hati ini. Macam-macam yang saya fikirkan. Saya sudah lupa, bilakah kali terakhir saya nampak Pak Cik Arif. Mungkin kali terakhir pada cuti AidilAdha yang lalu, ketika mereka berkunjung ke rumah. Masha ALLAH. Jika benar, ketika itu beliau masih sihat, gagah perkasa seperti biasa. Tapi iyalah - sihat bukanlah alasan untuk tidak mati.

Bagi pihak emak, rakan baiknya kehilangan suami yang dikasihi. Entah bagaimana rasanya emak, untuk menenangkan hati sang sahabat.

Manakala Ayah, setelah dilantik menjadi Pengerusi Badan Khayrat Kematian, ini merupakan kes pertama yang Ayah perlu uruskan, bermula daripada memandikan jenazah hinggalah urusan pengebumiannya selesai. Sungguhlah, siapa sangka kematian pertama yang Ayah akan uruskan selaku Pengerusi Badan Khayrat ini merupakan jenazah jiran sebelah rumahnya sahaja, yang pada ketika arwah Pak Cik Arif mendaftar, beliau masih sihat wal afiat.

Menurut emak, sudah beberapa hari Pak Cik Arif tidak sihat. Sakit yang berkaitan paru-paru. Ada juga emak berniat untuk menziarah, namun ditangguh kerana kesihatan Ayah sendiri tidak mengizinkan. Emak kata, tunggu ziarah di rumahlah, senang sahaja sebelah-menyebelah. Tapi, siapa nak tahu pulangnya arwah Pak Cik Arif sebagai jenazah, dek kerana nyawa yang dipinjamkan sudah kembali diambil Tuhan?

ALLAH.

ALLAH.

ALLAH.

Berdebar. Sungguh berdebar. Arwah masih muda usianya, jika dibandingkan dengan emak dan ayah. Pertengahan 50-an, berbanding emak dan ayah dan sudah mencecah 60-an. Jika berlaku kematian yang dekat seperti ini, sungguh saya seriau memikirkan ayah bonda yang dikasihi. Benar, umur bukanlah syarat, namun pantas sahaja ia menjadi satu kemungkinan.

***

Semoga ruh Allahyarham Pak Cik Arif dikumpulkan dalam kalangan orang yang mendapat keredhaan dan keampunanNya.
Semoga Che Ros sekeluarga tabah menghadapi kehilangan ini.
Semoga kita semua dipertemukan semula di negeri abadi, direzekikan menikmati syurgaNya, aamiin insha ALLAH.


Rabbighfirli waliwa lidayya, warhamhuma kama robbayaani soghiro.
Aamiin.



***

Wallahu'alam, wassalam.



...



p/s : Dalam perkembangan lain, hari ini juga ada cerita tentang kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, yang dengar katanya mengorbankan jiwa. Semoga ditabahkan jiwa semuanya.

Friday, May 13, 2016

"Tarik aku sama denganmu."

Bismillahirrahmanirrahim.

8 Mei 2016. Ahad.

Selepas Subuh, saya mengemas barang. Bersiap-sedia mahu pulang ke UIA. Namun teringatkan janji bersama Abang Mat si abang sulung untuk ke PBAKL, saya rileks sekejap. Baca kes untuk case review Evidence, dan kemudiannya tertidur.

Sedar-sedar, Kak Nori si kakak ipar sulung datang kejutkan. Dia nampak kalut, wajahnya nampak sedikit berserabut. Dalam mamai, saya cuak.

"Kenapa?" saya tanya.

"Tak tengok Whatsapp ke? Mak cakap apa pasal anak Ijat?"

Perlahan minda saya memproses kata-katanya. Telefon saya capai. Tiada signal Wi-Fi. Whatsapp terbaharu di group famili ialah oleh Ijat jam 8.30 am tadi, mengatakan Kak Aimi sudah masuk ke labour room.

'Awalnya.' detik hati saya sendiri, mengingatkan 19 Mei merupakan tarikh due untuk anak ke-4 Ijat dan Kak Aimi nun di Langkawi sana.

"Kenapa dengan anak Ijat?" saya aktifkan mobile data. Whatsapp masuk bertalu-talu. Whatsapp daripada emak jam 9 pagi menghalau seluruh rasa kantuk.

'Anak Ijat sudah dilahirkan. Tapi meninggal kerana placenta putus. Mak dan ayah otw ke Langkawi dengan kereta.'

Sekadar itu emak maklumkan. Kak Nori kemudian bergegas mengejutkan Abang Mat. Saya masih di pembaringan, sedikit keliru; adakah ini realiti atau saya masih lagi bermimpi di pagi Ahad.

Dari bilik saya, kedengaran suara Abang Mat yang terkejut. Abang sulung kami itu bingkas bangun dan menelefon Ijat. Saya bergegas ke biliknya, berdiri di muka pintu yang terbuka dan menelinga perbualannya dengan Ijat. Kira-kira 3 minit kemudian, panggilan ditamatkan. Saya dan Kak Nori menunggu cerita Abang Mat.

Namun Abang Mat cuma bangkit dari katil dan berjalan ke bilik air.

"Kenapa?" tanpa tertahan, saya bertanya.

"Baby dah tak ada sejak dalam perut lagi. Bukan meninggal masa bersalin." itu sahaja ucap Abang Mat, kemudian menghilang ke kamar mandi. Wajah yang selama ini saya pandang sama ada berona serius atau ceria, kini dihurung syahdu. Hati lelaki kental itu juga tersentuh, apatah lagi hati kami para wanita ini.

Saya juga berlalu ke bilik air, membersihkan diri. Seketika kemudian, saya turun ke tingkat bawah, menyertai Abang Mat dan Kak Nori di meja makan, sedang menghadap komputer. Sedang memeriksa tiket kapal terbang rupa-rupanya. Abang Mat sedang bercakap dengan emak di telefon.

"Adik nak pergi jugak." terucap dari bibir saya, setelah menimbangkan baik-buruknya membuat permintaan sebegitu kepada si abang. Bukan apa, perbelanjaan tiket pastinya akan ditanggung Abang Mat, jadi bukan calang-calang boleh membuat permintaan untuk turut serta ke Langkawi secara tiba-tiba.

Abang Mat pandang saya. Kak Nori juga.

"Bukan apa, adik rasa adik ingat lagi jalan di Langkawi tu. Jalan nak ke sekolah budak-budak tu, rumah pengasuh, rumah Ijat, hospital Ijat, semua adik ingat lagi. Jadi kalau adik ada kat sana, kot la boleh membantu sedikit sebanyak." saya memberikan rasional.

Dipendekkan cerita, akhirnya tiket atas nama saya ke Langkawi dibeli oleh kakak kedua saya, Kak Tie dan tiket pulang ke Kuala Lumpur ditanggung oleh Abang Mat. Abang kakak sudah berkeluarga, justeru agak susah untuk mereka langsung ke sana meninggalkan keluarga masing-masing. Tambahan pula saya pun masih ingat laluan di Langkawi setelah berkunjung ke sana awal tahun baru-baru ini, jadi mereka bersetuju untuk meghantar saya sebagai wakil mereka.

Flight yang dijadualkan pada jam 3.40 malangnya ditangguhkan ke 4.30 petang. Maknanya, saya terlepas peluang untuk melihat anak syurga buat pertama dan terakhir kalinya, kerana Ijat memaklumkan bahawa bidadari kecil itu akan dikebumikan selepas Asar. Kerana flight delay, saya hanya akan tiba di Langkawi jam 5.30 petang, dan saat itu, segala-galanya pasti telah selesai. Sedikit kesal di situ :(

Saat Abang Mat menurunkan saya di lapangan terbang, sebak mencengkam dalam dada. Pedih. I'm all alone sekarang. Everything feels like the first time. Pengalaman kehilangan yang sebegini rupa buat pertama kali. Pengalaman ke Langkawi melalui kapal terbang juga pertama kali. Juga pengalaman pertama menaiki Malindo Airs. Juga pengalaman pertama saya untuk berhadapan dengan Ijat selepas kehilangan puterinya.

Sampai di Langkawi International Airport, saya dimaklumkan Ijat untuk tunggu seketika sehingga pengasuh Along datang menjemput. Kak Yu datang kira-kira 10 minit kemudian, bersama Along, Khadijah dan Imad di dalam kereta.

Masuk ke dalam kereta, saya terpaku seketika dengan ucapan pertama Khadijah kepada saya,

"Che Sue, ibu dah beranak. Tapi baby dah mati."

"Meninggal." Kak Yu betulkan penggunaan kosakata Khadijah. Saya senyum tawar tanpa perisa. Indahnya menjadi kanak-kanak, kau belum faham sakitnya kehilangan.

Kak Yu menghantar saya dan anak-anak saudara yang baru kehilangan adik baru mereka ini ke rumah Ijat di Padang Mat Sirat. Ijat maklumkan bahawa dia akan menjemput emak, ayah dan kakak saya yang seorang lagi; Kak Yah di pengkalan feri dan langsung ke hospital menziarahi Kak Aimi. Saya diminta mengemaskan rumahnya yang ditinggalkan secara tergesa-gesa awal pagi tadi.

Ketika mengemas, ralit melayan anak-anak kecil ini. Sedikit pun tidak terpeta kesedihan di wajah mereka. Sesekali, wajah polos itu saya pandang sayu. Bagaimanakah perasaan mereka bila mereka mulai memahami tentang hakikat ini?

Tiba-tiba Along berlari ke beg sekolahnya yang diletakkan berdekatan pintu.

"Along ada hadiah untuk Imad!" suaranya ceria. Mendengarkan kata-katanya, Khadijah turut meluru ke arah beg sekolahnya pula, bersebelahan beg sekolah Along.

"Khadijah pun!"

Saya cuma memandang dan menunggu bersama-sama Imad, sedikit teruja ingin melihat apakah hadiah yang mereka maksudkan.

Abang dan kakak Imad itu, masing-masing mengeluarkan dua biji oren daripada beg mereka.

"Mana Along dapat buah oren ni?" tanya saya sambil menyambut huluran mereka, meminta oren itu dipotong.

"Tadi, dekat masjid." beritahu Along. Saya segera mengerti. Maksudnya, oren itu mereka dapat ketika majlis pengebumian adik mereka tadi.

"Along cium adik?" saya bertanya sekali lagi, meskipun di dalam kereta tadi Kak Yu sudah memberitahu. Along mengangguk.

"Khadijah tak." Along tunjuk kepada Khadijah. Saya memandang Khadijah.

"Kenapa tak cium adik?" saya bertanya perlahan. Kalaulah dia tahu bahawa itulah satu-satunya peluang yang dia ada untuk menyentuh dan mencium adiknya....

Khadijah tersengih cuma. Saya pantas memahami. Apalah anak kecil seusia 4 tahun ini mengerti, bukan?

Saya lantas ke daput, diikuti rapat oleh 3 beradik itu. Mahu makan buah oren!

Maghrib menjelma dan Ijat masih belum tiba. Melalui WhatsApp group famili, Ijat memberitahu bahawa dia menjemput ayah, emak dan Kak Yah lalu langsung ke hospital untuk menziarahi Kak Aimi, dan sempat singgah di kubur si kecil yang baru dikebumikan tadi.

Khadijah saya mandikan mula-mula, kemudian Along saya minta mandi bersama Imad, sementara saya menggoreng cucur ikan bilis. Ketika itulah Ijat pulang, membawa bersama ayah, emak dan Kak Yah. Sedikit berdebar untuk berdepan dengan Ijat, kerana saya tidak tahu untuk memberikan reaksi yang bagaimana. Melihatkan semua orang berkelakuan seperti tiada apa-apa yang berlaku, saya juga cuba untuk beraksi biasa. Saya menyalami Ijat, dan memeluknya dari sisi, seperti biasa. Namun sempat sayu menyelinap. Doa sempat saya bisikkan di dalam hati, semoga abang tengah saya ini dikurniakan kekuatan untuk menghadapi ujianNya ini.

Sungguh, malam itu kami habiskan seperti biasa. Cuma bezanya emak masakkan nasi lembik dan ikan masin untuk Ijat bawa kepada Kak Aimi di hospital; makanan orang berpantang. Langsung tiada antara kami yang menyentuh isu yang boleh menggugurkan air mata atau perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Barangkali kerana budak bertiga beradik itu pun ceria seperti biasa bilamana mengetahui kedatangan datuk dan nenek yang mereka kasihi. Langsung mereka lupa barangkali bahawa mereka baru sahaja kehilangan adik kecil yang selama ini dikandung ibu mereka.


9 Mei 2016, Isnin.

Along dan Khadijah ke sekolah seperti biasa. Malah, saya dan Ayah sempat ke pasar dan kedai bebas cukai berhampiran, membeli barangan dapur. Kedai bebas cukai di Langkawi ini, bukan sahaja ada barangan kulit, coklat dan barangan runcit, bahan-bahan basah juga ada. Sungguh, seperti tiada apa-apa yang berlaku dan kami seolah-olah datang ke sini semata-mata menziarahi Ijat sekeluarga, seperti bulan Januari baru-baru ini.

Tengah hari itu kami memasak lebih. Untuk besan emak, yakni mertua Ijat; iaitu ibu dan ayah Kak Aimi yang baru tiba dari Terengganu. Selepas menjemput Along dan Khadijah daripada sekolah, makan tengah hari dan solat Asar, Ijat dan mertuanya terlebih dahulu ke hospital. Kami pergi lambat sedikit untuk tunggu makanan Kak Aimi siap dimasak emak. Hari ini lauknya ikan selar bakar, yang ikan selarnya saya beli bersama ayah di Pasar Padang Mat Sirat pagi tadi.

Petang itu barulah saya berkesempatan menemui Kak Aimi. Sungguh wanita itu nampak tabah. Wad yang dihuninya merupakan Wad Bersalin, di mana kebanyakan katil si ibu akan ada bersebelahan dengannya katil si kecil. Ada yang lena di pangkuan ibu, ada yang enak menyusu. Namun Kak Aimi sendiri di katilnya, dan ada juga katil untuk si kecil, walau si kecilnya sudah enak bersemadi di sisi Pencipta. Namun wanita ini nampak tenang dan bersahaja, seperti biasa. Langsung tiada rona-rona kesedihan yang beliau tunjukkan. Barangkali tersimpan kemas di lubuk hati.

Kami berbual-bual seketika. Ada juga beberapa wanita lain yang datang menziarah, yakni pengasuh Along dan beberapa wanita yang turut mengenali Kak Aimi dan tahu mengenai berita kehilangan ini. Setelah mereka berlalu, tinggal Kak Aimi, emak, Kak Yah dan saya. Ayah dan Ijat berada di luar bersama si 3 beradik, kerana kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk. Ayah dan ibu Kak Aimi pula sudah pulang.

Kami berbual seperti biasa. Syukur saya hadratkan ke Ilahi kerana wanita ini masih mampu tersenyum, bahkan ketawa, malahan sesekali mencipta jenaka. Kami meninggalkan Ijat dan Kak Aimi apabila waktu melawat tamat, dan menuju ke bandar Kuah untuk mencari makan malam. Kami lalu di hadapan Masjid Aisha (di sebelah kiri jalan jika menuju ke pekan Kuah), tempat di mana si kecil itu disemadikan. Kami tidak singgah di kuburannya, memandangkan Maghrib hampir tiba. Malam itu kami habiskan di bandar Kuah, sebelum singgah sekali lagi di hospital, setelah Ijat mendapatkan kebenaran untuk membawa anak-anaknya berjumpa seketika dengan ibu mereka yang hampir dua hari tidak bersua muka.


10 Mei 2016, Selasa.

Pagi-pagi lagi kami berkemas. Flight saya jam 10 pagi ini, manakala emak, ayah dan Kak Yah merancang untuk menaiki feri pada waktu tengah hari. Kak Yah tidak dapat cuti lama, tambahan pula Ijat juga sudah merancang untuk pulang pada Khamis. Ada ibu Kak Aimi untuk menjaganya, jadi kami tidak perlu berasa risau.

Ijat menghantar saya ke lapangan terbang, bersama anak-anaknya. Selepas itu katanya dia mahu ke sekolah Along dan Khadijah untuk mengambil buku, kerana anak-anaknya yang berdua itu akan bersekolah di Terengganu selama Kak Aimi berpantang di sana.

Saya maklumkan pada Ijat bilamana saya sudah selamat memasuki kabin. Sempat dia membalas,

"Kirim salam pada pilotiah." katanya, merujuk kepada pilot wanita (Ijat menambah ta marbutah di belakang perkataan pilot, yang secara mudahnya membawa maksud pilot wanita). Seperti biasa, dia berlelucon. Namun tiada ketawa yang tercipta daripada saya, sebaliknya segaris senyum yang tiba-tiba saya rasa mata saya digenangi air.

Di lubuk hati saya, he was trying too hard. To show that he is okay, while he is actually not. To show that as if nothing happened, while actually something big has happened.

Ijat..... saya seru namanya perlahan sambil memandang bumi Langkawi yang perlahan-lahan mulai ditinggalkan. Sampai ke sudah tidak saya berbicara langsung dengannya tentang kehilangan puterinya itu. Hanya sesekali berbicara dengan emak, dan perbicaraan kami perlahan sahaja agar tidak sampai ke telinga Ijat. Bimbang hatinya tersentuh.

Saya tiba di Kuala Lumpur dengan seribu satu pengalaman baru. Kesedihan, kehilangan, kekuatan dan bermacam rasa lain; bergumpal di dalam hati, bercampur menjadi satu rasa yang sukar dimengertikan. Mahu menangis, tapi bimbang jika berlebihan, bakal membawa kepada tidak redha kepada ketetapanNya. Mahu berlagak biasa, tapi tidak mampu, kerana hakikatnya kami sekeluarga baru sahaja melalui perkara yang luar biasa.

Akhirnya saya serahkan segalanya pada Dia, yang mana saya yakin, semua antara kami juga lakukan yang serupa. Bukankah DIA itu Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu? Bukankah DIA itu Tuhan Yang Esa, yang tiada apa pun yang dapat menandingi kekuatanNya? Maka serahkanlah segalanya pada Dia. Kami cuma mampu meminta agar sisa-sisa kekuatan kami ditambah, agar kami mampu menghadapi segalanya, walaupun payah.

Buat si dia yang Tuhan pinjamkan seketika - walau cuma 38 minggu di dalam perut sang ibu, tanpa sempat pun menatap dunia dan seluruh isinya, tanpa sempat pun menghirup udara dunia; damailah kau di sana, sayangku. Barangkali sekarang kau sedang bergembira di syurga. Barangkali sekarang kau sedang tersenyum di sisi Pencipta. Semoga berjodohan kita kelak, agar bisa kami tatap wajahmu, pangku tubuhmu, dakap jasadmu dan menyentuh kamu sehabis mahu - melakukan segala sesuatu yang tidak berezeki untuk kita lakukan di dunia. Andai berpeluang, tarik aku nanti - untuk sama-sama berada di syurga denganmu, wahai bidadari kecil.

Beruntungnya engkau - langsung ke syurga. Tidak perlu dinodai kotoran dunia, tidak perlu dihantui takut menghadapi dunia-dunia lain. Subhanallah.

Terlalu banyak ibrah yang boleh kami kutip daripada peristiwa ini. Betapa terujinya hati-hati yang selama ini dipasak janji untuk setia dengan Ilahi. Betapa terujinya jiwa-jiwa si ibu dan ayah yang sudahpun merasa teruja untuk menyambut ketibaan ahli keluarga baru, dengan segala persiapan sedari dulu. Betapa terujinya insan-insan sekeliling, untuk menyalurkan sokongan tanpa jemu, untuk menghantar doa tanpa sebu.

Semoga semuanya dalam lindungan ALLAH sentiasa, tidak kiralah di dunia manapun kita berada.

AlFatihah untuk bidadari kecil itu, yang dikebumikan di Masjid Aisha, Kuah pada 8 Mei 2016.
Bumi Langkawi won't be the same anymore. We left something precious there.


Wallahu'alam, wassalam.

Thursday, January 03, 2013

Rest in peace.

Bismillahirrahmanirrahim.

I read Im's tweet this morning. She said that, Kanang Anak Langkau, whose the character has been displayed in a textbook of Form Three students, has passed away. For further reading, visit here .

Personally, quite a shocking news for you. I read the book. I learnt him from that book. I had to memorize his life story. Rest in peace, Datuk Kanang.

Im then tweeted more, that this thingy about the late Kanang reminded her of her Malay Language teacher, Cikgu Murnee. This led me to recall of mine as well. The late Cikgu Meriam.

Yes.

My teacher, who taught me about the late Kanang, had firstly gone, earlier than Kanang. I posted about her, last year. You may read it here .

ALLAH.

Al-fatihah untuk gemulah Cikgu Meriam.
Rest in peace for the late Kanang Anak Langkau.

May ALLAH bless, wassalam.

Thursday, April 12, 2012

Takziah, Brien.

Library CFS IIUM PJ, 10.20 am : 1 message from Syasya Musiman.

"Ayah Brien... dah meninggal. Al-fatihah."


Jantung berdegup kencang tak ingat. Terus saya pack barang-barang yang berselerak atas meja, tanpa sempat sumbat masuk beg, saya dah berlari keluar dari library. Perjalanan dari library ke KC rasa sangat jauh, meskipun  biasanya hanya 5 minit. Sementara berlari anak, saya teringat siri-siri cerita Sabriena tentang ayahnya.

Kami warga 901 memang sedia maklum bahawa ayahnya kurang sihat. Malah, pernah dimasukkan ke Hospital Ampang kerana sakit, dan menjalani pembedahan. Lebih kurang sebulan lalu, ayahnya dibenarkan keluar. Setakat itu sahaja yang kami maklum kerana Sabriena sangat jarang dan kurang berkongsi cerita tentang kisah peribadinya.

Dan tiba-tiba, hari ini, kami dikejutkan dengan pemergian ayahnya. Saya boleh bayangkan betapa sedihnya Sabriena. Baru semalam ada yang datang mengetuk pintu bilik kami, meminta derma untuk disalurkan kepada seorang sister yang kehilangan ibu. Dan kini, hari ini, ayah Sabriena pula yang pergi.

Hari Rabu merupakan cuti am sempena pertabalan YDPA. Petang Selalsa tu, saya dan Brien sama-sama naik bas ke Mid. Dari situ, saya ambil komuter ke UKM untuk balik ke rumah kakak di Bangi, dan Sabriena ambil bas U65 untuk balik ke rumahnya di Puchong. Sebenarnya, saya seorang sahaja yang merancang untuk pulang, tapi tiba-tiba Sabriena memaklumkan bahawa dia mahu balik sama. Saya okey saja, malah bersyukur kerana ada teman. Dan alhamdulillah, dia sempat balik, jumpa ayah dia buat kali terakhir, tanpa mengetahui kali terakhirnya itu....

Sampai di bilik, saya lihat Sabriena di tikar sejadah. Wani yang sedang melipat kain, merah wajahnya. Menangis. Sabriena teresak-esak. Saya mengerti, Wani sendiri tidak punya kekuatan untuk menenangkan Sabriena. Wani kehilangan ayah sejak kecil, justeru dia sendiri terkelu untuk menenangkan Sabriena. Saya biarkan Sabriena buat seminit, menyangka dia berdoa. Namun, bila melihat dia semakin teresak-esak, saya hampiri dia.

Bahunya saya peluk, menguatkan lagi esakannya. Tangisannya yang selama ini dipendam, semakin jelas kedengaran. Menjemput kami untuk menangis sama. Saya bisikkan beberapa kalam ke telinganya, menyemai kekuatan dalam sekeping hati yang diuji Tuhan.

Dalam esak tangis yang dahsyat, dia meluahkan apa yang tersirat :

"Kita tak habis belajar pun lagi... Kita nak hantar ayah kita pergi Mekah. Ayah kita nak buat umrah... Tapi...."

Saya sendiri kehujanan, kelu tanpa kata. Dalam hati, hanya dua benda yang saya pohon daripada ALLAH ; berikan Sabriena kekuatan yang setimpal dengan ujian yang dikurnia, juga semoga ibu ayah saya panjang umur. Saya belum bersedia untuk kehilangan salah seorang daripada mereka buat masa sekarang.

Hampir lima minit berpelukan, dan Syira pun sudah kembali ke bilik, dan kami berempat sama-sama menangis, Sabriena bangkit dari duduknya. Dia mahu pulang dengan segera.

Sebelum pulang, anak bongsu daripada empat adik beradik ini sempat lagi singgah membeli telekung solat untuk ibunya di gerai berhadapan mahallah. Bila ditanya, dikatakan memang niatnya untuk membelikan telekung untuk ibunya. Sebelum itu, kami ke Pejabat Mahallah, Sabriena mahu mendapatkan surat kebenaran pulang.

"Kak, saya nak balik."

"Kenapa?" soalan biasa ditanya.

"Ada kecemasan." jawab Sabriena setelah seketika terjeda.

"Kecemasan apa?" soalan berlanjutan. Saya pandang Sabriena yang terkaku. Bibirnya kelihatan menggeletar menahan tangis, sebelum menjawab,

"Ayah saya meninggal." suaranya bergegar sedikit. Tapi saya tahu, gegaran hatinya jauh lebih dahsyat daripada suaranya, malah jauh lebih dahsyat berbanding gempa bumi 8.9 skala ritcher semalam.

Jam 11 lebih, Sabriena saya iringi dengan pandangan mata hingga ke pagar CFS. Mahu menemaninya hingga ke rumah, mustahil. Lagipun, tanggungjawab di sini lebih banyak.

Tiada apa mampu saya kirim padanya, melainkan doa agar hatinya tidak goyah dengan ketentuan Ilahi. ALLAH lebih tahu, kan?

Tapi saya juga tahu, bahawa mengatakan sesuatu sangat mudah berbanding melaluinya. I can say anything, but I cannot know the real feeling of hers.

Brien,
semoga kau tabah.
semoga kau kuat.
semoga kau sabar.

Jangan lupa, ini takdir ALLAH. Hanya masa yang memainkan peranan. Cepat atau lambat, setiap antara kita pasti akan pergi.

ALLAH.
Jangan uji aku seteruk ini.
Panjangkan umur kedua-dua ibu bapaku.
Sihatkan tubuh badan mereka.
Jangan Kau ambil mereka daripadaku lagi.
Amiin.

Wallahu'alam, wassalam.