Bismillahirrahmanirrahim.
Pagi itu, dalam kesibukan saya dan Hana, kami mendapat panggilan. Saya, secara spesifiknya.
"Dah sarapan?" dia tanya lepas kami berbalas salam. Jujurnya saya cuak. Pagi-pagi lagi Boss dah telefon. Nasib baik dah masuk ofis :D
"Belum, boss." dalam cuak tu, lurus pula jawapannya.
"Saya kat Dhuha ni. Jomlah sarapan. Ajak semua yang ada di pejabat tu." selamba dia mengajak. Saya pandang Hana. Yang lain masih belum sampai, jadi nampaknya kami berdua sajalah.
"Okay, boss. Jap."
Boss ajak lepak mamak, saya beritahu Hana. Ya, Boss kadang-kadang memang begitu. Tak nak makan sorang-sorang, dia akan ajak kami teman dia. Maka beransurlah kami ke Ad-Dhuha, kedai mamak berdekatan pejabat. Pantas Boss gamit kami ke mejanya yang sudah terhidang roti canai siap kuah kari kambing, serta Milo Ais.
Pantas Boss suruh kami pesan, siap suruh tapaukan untuk mereka yang belum sampai ofis. Masha ALLAH pemurahnya. Sambil tunggu makanan sampai, bahkan sambil makan pun, macam-macam kami sembang. Sekejap pasal fail itu ini, tapi banyaknya Boss akan bawa topik lain. Tak nak terikat dengan kerja semata-mata, mungkin.
"Hana, macam mana kalau awak mati hari ni?" Boss tembak soalan yang langsung tersasar daripada topik kami bualkan sebentar tadi. Tak bagi signal langsung tau, nak masuk topik serius macam ni.
Kami sama-sama terjeda. Hana diam mencari ilham, saya diam menunggu jawapan. Dan juga memikirkan jawapan saya, kot lepas ni Boss aju soalan sama pada saya pula.
"Eh, mestilah takut, Boss. Tak bersedia lagi." jawapan Hana membuatkan Boss angguk kecil sebelum talakan pandangan pada saya. Ha, kan dah cakap. Kena jugak.
"Maryam?"
"Hmm. Takpe je kot saya kalau mati harini." jawapan tak best saya bagi. Tak sempat nak fikir apa-apa pun sebenarnya bila hidup mati menjadi persoalan ni.
"Betul? Dah bersedia ke?" beliau soal-siasat. Aura peguam dah keluar nampaknya. Tapi Boss, saya pun peguam. Heh.
"Nak tunggu sedia kan Boss, entah bila nak sedia. Dan mati ni Boss, bukan tunggu sedia ke tak, kan?" saya pandang Boss.
"Kenapa awak cakap macam tu?"
"Sebab saya rasa sekarang ni saya takde terikat dengan dunia sangat. Takde suami, takde anak-anak, takde tanggungjawab, takde komitmen, takde hutang. Insha ALLAH okey. Bukan nak kata saya dah sedia, tapi kalau saya mati sekarang, saya takde tinggalkan sesiapa atau membebankan sesiapa." ulas saya.
"Parents you Yam?" celah Hana.
"Rasanya it is a matter of siapa yang tinggalkan siapa dulu. Dan ditinggalkan tu lagi sakit daripada meninggalkan." dalam berkias, saya memberitahu bahawa saya lebih rela meninggalkan daripada ditinggalkan. Tak dapat bayangkan sakitnya ditinggalkan orang yang tersayang (ibu bapa), berpisah dunia :(
Boss angguk-angguk. Tapi kemudiannya beliau sambung cerita. Rupanya nak cerita pasal sedekah dan kelebihannya. Dikisahkan betapa ramainya manusia yang telah meninggal dunia, ingin dibangkitkan kembali ke dunia untuk - ya, bersedekah. Betapa kuasanya sedekah ini. Jadi moralnya, Boss nak galakkan bersedekah.
Cerita mati hari itu, tamat pada hari itu sahaja.
***
Hari ini, Hana bangkitkan kembali persoalan itu. Sejujurnya, pertanyaan Boss berkenaan bersediakah untuk mati itu - saya ingat sehingga ke hari ini. Dan insha ALLAH jawapan saya masih sama.
Paling penting sebabnya, saya masih belum ada tanggungjawab untuk saya gusarkan. Tanggungjawab sebagai anak, insha ALLAH ada anak lain yang boleh isikan tempat itu. Maksud saya, tanggungjawab yang cuma saya pegang. Contohnya sebagai seorang ibu. Atau isteri. Mungkin bila harta dunia saya bertambah (suami, anak-anak) atau wujudnya hutang saya (rumah @ kereta), kematian akan menjadi satu perkara yang menakutkan.
Saya akan fikir lebih panjang jika diajukan soalan sama. Anak-anak saya nanti bagaimana? Would they meet a better mother to take care of them? Would they trouble people, because they will never trouble me. Would my partner be okay with my eternal departure? He may be getting himself another partner, but how good can he cope with losing someone dear to him? Because honestly, if such thing happens to me, I might have to learn hard to keep myself composed.
Cumanya bila difikir-fikir, teringat bait-bait lirik yang dibawa oleh Fynn Jamal dalam lagu Dosa (Noh Salleh). Nak pergi, risau tak cukup bekal. Nak kekal di sini, risau makin bebal.
Ya. Bukanlah sudah bersedia untuk mati. Jauh sekali rasa dah cukup bekalan ukhrawi. Tidak. Tidak sama sekali. Tapi bukankah mati itu pasti? Dan rasanya pada masa ini masih boleh terus pergi, tanpa khuatir apa-apa pada duniawi. Tiada hutang, tiada komitmen. Kerana risaunya pada masa depan, bertambah tanggungan, makin berat untuk berangkat.
Dan bukankah yang paling dekat dengan kita itu adalah kematian?
:')
Saya fikir, Boss akan lain jawapannya dengan saya. Boss ketua keluarga, punyai isteri dan anak-anak. Boss juga ketua di pejabat, punyai nama baik dan pekerja-pekerja yang bergantung harap. Besar tanggungjawab Boss. Banyak tanggungan dan komitmen Boss. And leaving isn't an easy thing. Banyak lagi benda nak capai, banyak lagi tahap nak gapai.
Tapi saya - setakat ini, tiada. Semua cukup, alhamdulillah. Kalau ada yang belum pun, akhlak diri yang belum cukup terpuji. Mungkin ada ibadah belum cukup berkualiti. Atau solat yang belum berganti. Atau apa-apa sahaja yang saya sendiri tidak pasti.
Tapi sekali lagi, wujudkan orang yang benar-benar bersedia untuk mati? Yakin cukup dengan segala bekal amalannya ke alam sana nanti?
Kerana bukankah mati itu, sungguhpun pasti, namun satu misteri?
Semoga, dalam setiap anugerah yang Tuhan rezekikan pada kita di dunia ini, tidak menjadi penghadang untuk memberatkan hati untuk kembali kepadaNya apabila dipanggil nanti.
Insha ALLAH aamiin.
Ya Tuhan,
kembalikanlah kami kepadaMu dalam keadaan dosa-dosa kami telah diampunkan.
kembalikanlah kami ke negeri abadiMu dalam keadaan kami lebih baik daripada sewaktu kami dilahirkan.
kembalikanlah kami kepadaMu dalam keadaan Engkau dan setiap maklukMu redha kepada kami.
dan permudahkan urusan segala isi duniaMu dalam mengiringi kepulangan kami ke pangkuanMu.
Aamiin.

0 love letta(s):
Post a Comment